PERBEZAAN IPTA dan IPTS



Apa itu IPTS?
IPTS ialah singkatan bagi Institut Pengajian Tinggi Swasta. IPTS juga dikenali sebagai kolej swasta yang belanjawannya dibiayai sepenuhnya melalui bayaran yuran oleh pelajar-pelajar. Hal ini berbeza dengan kolej awam yang dibiayai sebahagiannya

atau sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Kolej swasta di Malaysia perlu memohon kepada Kementerian Pendidikan bagi mendapat lesen untuk beroperasi.
Senarai IPTS
Adalah menjadi satu kemestian bagi para pelajar yang ingin menyambung pelajaran di IPTS untuk memilih hanya IPTS yang mempunyai program yang telah mendapat pengiktirafan JPA, Badan Profesional atau Badan Lain. Kemaskinian maklumat adalah berdasarkan maklumbalas daripada IPTS yang diterima setakat 27 Disember 2013. Jumlah program pengajian IPTS (kategori : Universiti) yang telah mendapat Perakuan Akreditasi setakat ini adalah sebanyak 2169. Sila rujuk laman web berikut (http://www.mqa.gov.my/mqr/akrbyipts.cfm)
Pembahagian IPTA dan IPTS
Secara amnya, kedua-dua IPT iaitu IPTS dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mempunyai fungsi yang sama. Walaupun begitu, setiap universiti itu unik dengan caranya tersendiri. 
Untuk pengetahuan, IPTA terbahagi kepada 4 kategori:
1. Universiti APEX (Accelerated Programme for Excellence): USM. Sila klik di SINI untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Universiti APEX.
2. Universiti Penyelidikan: USM, UM, UKM, UPM dan UTM.
3. Universiti Komprehensif.
4. Universiti Berfokus iaitu universiti awam yang memberikan lebih tumpuan kepada bidang-bidang tertentu seperti teknikal, pendidikan, pengurusan dan pertahanan.
Manakala pembahagian Universiti Swasta adalah kurang jelas. Setakat ini masih belum terdapat universiti swasta yang mampu mencapai taraf APEX mahupun Penyelidikan. IPTA dipelopori oleh 5 buah universiti terkemuka (USM,UTM,UM,UKM,UPM) manakala universiti swasta lebih diterajui oleh 2 buah universiti (Multimedia University, Universiti Teknologi PETRONAS) manakala dalam bidang sains kesihatan, International Medical University (IMU) yang lebih dikenali dalam kalangan pelajar-pelajar cemerlang.
Perbezaan IPTA dan IPTS
1. Yuran Pengajian:
Perbezaan yang paling mudah dilihat adalah dari segi yuran pengajian. Rata-rata IPTA melatakkan yuran sekitar RM1000 bagi satu semester manakala IPTS bergantung kepada jenis bidang pengajian, sekitar RM50k untuk bidang kejuruteraan, RM90k untuk bidang farmasi dan RM300k untuk bidang perubatan. Walau bagaimanapun, yuran pengajian tidak menjadi masalah kepada para pelajar IPTS memandangkan banyak kemudahan pinjaman pendidikan pada masa sekarang jika berbanding 10 tahun yang lepas antaranya ialah MARA, PTPTN dan sebagainya.
2. Kemudahan Pembelajaran:
Mungkin terpadat segelintir masyarakat yang mengatakan kemudahan di IPTS adalah lebih baik tetapi secara keseluruhannya kemudahan dari segi pembelajaran di kedua-dua IPT adalah lebih kurang sama. Walaupun begitu, kemudahan untuk pelajar di IPTA mempunyai sedikit kelebihan. Hal ini adalah kerana kebanyakan IPTA mempunyai keluasan kampus yang sangat besar seperti UUM dan UKM. Sekiranya anda berminat untuk menaiki ‘shuttle bus’ dari fakulti ke fakulti, ataupun menaiki Rapid KL, IPTA adalah jawapannya.
3. Suasana Pergaulan:
Kebanyakan IPTS adalah berpusat kepda satu, dua atau tiga fakulti sahaja. Contohnya IMU berfokus kepada bidang sains kesihatan, UTP dan MMU memfokuskan bidang teknologi dan kejuruteraan. Pergaulan bagi pelajar IPTS adalah lebih kepada dalam satu fakulti sahaja. Hal ini berbeza dengan pelajar di IPTA. Pergaulan para pelajar IPTA tidak terbatas kepAda 1 fakulti sahaja. Jika anda seorang pelajar kejuruteraan, kemungkinan untuk bergaul dengan pelajar guaman juga adalah sangat tinggi. Hal ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kemungkinan apabila semua pelajar mengambil jurusan yang lebih kurang sama, adalah lebih mudah untuk belajar. Kemungkinan juga dengan bercampur gaul dengan pelbagai fakulti dan jurusan akan lebih membuka minda para pelajar.
4. Keterbukaan Minda:
Hal ini bukan bermaksud pelajar di IPTA lebih terbuka mindanya berbanding pelajar di IPTS. Perkara yang paling mudah ialah cuba tanyakan kepada pelajar IPTS yang mengambil MUET untuk melanjutkan pelajaran ke universiti mengenai MQA. Ataupun cuba tanyakan nama-nama universiti penyelidikan. Mengikut pemerhatian, kebanyakan pelajar di IPTS tidak dapat menjawab persoalan tersebut. Bagi pelajar di IPTA pula, cuba tanyakan International Baccalaureate adalah merujuk kepada apa? 
5. Suara Pelajar:
Dari segi suara pelajar ataupun kata lainnya adalah fungsi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), secara jujur MPP di kebanyakan IPTS kurang memainkan peranan seperti yang berlaku di IPTA. Hal ini mungkin kerana faktor bilangan pelajar itu sendri. Pilihan Raya Kampus (PRK) di IPTS adalah tidak sama seperti di IPTA. Jika di UKM akan dapat dilihat ASPIRASI dan Gabungan Mahasiswa (GMUKM) sewaktu PRK, di IPTS seolah-olah PRK ini “mati” dan tidak “bernyawa”. Walau bagaimanapun, terdapat juga IPTS yang suara pelajarnya masih dapat didengar seperti di Universiti Selangor (UNISEL).

Lihat Juga:

panduan semakan kelayakan kemasukan UPU am dan Khas
Panduan membeli pin Unik BSN ke UA dan IPTA
Permohonan Online Ke Institusi TVETMARA
6. Bantuan Kerajaan:
Sekiranya mengambil kira dari segi sokongan kerajaan, IPTA mungkin akan mendapat sedikit kelebihan. Setelah USM menjadi Universiti APEX dengan permohonan 3 buah universiti swasta (MMU, UNITEN, UTP) tidak disenarai pendek. 5 buah Universiti Penyelidkan juga adalah dari universiti awam. Mungkin terdapat IPTS yang meletakkan matlamat untuk menjadi salah satu daripada universiti bertaraf penyelidikan ini, tetapi nampaknya dengan hasrat kerajaan meletakkan universiti penyelidikan ke-6 negara adalah daripada universiti dalam bidang sains sosial, mungkin sukar untuk IPTS mencapai status ini. Walau bagaimanapun, fakta ini bukan berpihak kepada IPTA semata-mata, sebenarnya institusi swasta negara kebanyakannya menjalin hubungan dengan universiti terkemuka dari luar dan juga syarikat-syarikat yang besar. Contohnya, Universiti Perdana yang baru ditubuhkan adalah mengambil sukatan pelajaran dari Royal College of Surgeon Ireland (RCSI).
7. Sukatan Pelajaran:
Bagi kedua-dua IPT, sukatan pelajaran adalah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MQA. Jadi, tidak akan wujud persoalan bahawa kualiti pembelajaran di IPTS lebih baik daripada di IPTA atau sebaliknya. 
8. Bidang yang Ditawarkan:
IPTS menyediakan peluang kerjaya pada tahap yang boleh dikatakan selesa kerana kepelbagaian bidang yang ditawarkan. Sebaliknya, bidang yang ditawarkan di IPTA pula adalah terhad dan menyebabkan pelajar tidak dapat membuat pilihan jurusan lain untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma mahupun ijazah. Namun melalui IPTS, pelajar dapat melanjutkan pelajaran mereka dalam jurusan yang mereka minat dan menepati prospek pekerjaan pada masa sekarang. Para pelajar sendiri akan lebih bersemangat untuk menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang memandangkan ianya adalah satu lagi peluang yang telah diberikan sekiranya telah gagal dalam SPM mahupun matrikulasi. Selain itu, pelajar IPTS juga lebih berdaya saing berbanding pelajar IPTA kerana mereka lebih berdikari dan ditawarkan dengan pengajian yang mereka pilih sendiri berdasarkan minat mereka. Seterusnya mereka lebih didedahkan dengan pasaran tempatan dengan adanya latihan praktikal di syarikat-syarikat swasta yang lebih mencabar tugasannya.