Thursday, 31 Dec 2015
Hasrat untuk memulakan program ini bermula semenjak tahun 2013, melalui beberapa siri perbincangan di antara Institut Pengajian Eksekutif UPNM (NIEEd), Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan (FPPP) dan wakil-wakil Bahagian Materiel, Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan (MPPL) dan Bahagian Sumber Manusia Pembangunan (SM-PEMB), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Hasilnya Program Diploma Pengurusan Logistik (DPL) dan Program Diploma Pentadbiran Perniagaan (DPP) bagi anggota Lain-Lain Pangkat dari Cawangan Bekalan dan Urus Setia akan dilaksanakan bermula Januari 2016 di KD PELANDOK, Pangkalan TLDM Lumut. Program Diploma Pengurusan Logistik adalah untuk anggota TLDM berkepakaran Juruteknik Logistik (TNL) manakala program Diploma Pentadbiran Perniagaan untuk anggota TLDM berkepakaran Pentadbiran dan Kewangan (PNK). Program ini mengintegerasikan kursus kerjaya TLDM dengan program akademik UPNM dan pada penghujung kursus, anggota yang berjaya akan dianugerahkan dengan Diploma UPNM.
Kejayaan pelaksanaan program ini merupakan penambahbaikan dan pengiktirafan kepada silibus yang digunakan oleh TLDM. Program ini juga telah mendapat pengiktirafan Malaysian Qualification Agency (MQA) pada 27 Februari 2014 dan kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Jawatankuasa Pengajian Tinggi (JKPT) pada 12 Februari 2015.
KD PELANDOK mempunyai kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap seperti bilik kuliah, dewan peperiksaan, perpustakaan dan kemudahan infrasruktur yang lain. Tenaga pengajar yang berkelayakan daripada UPNM dan TLDM di atur untuk mengendalikan program ini. Melalui kerjasama ini tenaga pengajar TLDM didedahkan dengan teknik pengajaran dan pembelajaran, dan kaedah penilaian yang memenuhi Malaysian Qualifications Framework (MQF).
Pihak UPNM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TLDM dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang. UPNM bersedia membangunkan program baru bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usahanya meningkatkan profesionalisma dan kompetensi pegawai dan anggotanya. UPNM mengucapkan syabas kepada TLDM di atas inisiatifnya yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan ke arah Tentera Laut Bertaraf dunia.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif ATM bagi menentukan warganya berpeluang untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara apabila bersara kelak. Selari dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, program ini memberi tumpuan kepada peningkatan taraf pendidikan, pengiktirafan kelayakan akademik dan menyemai sikap pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan anggota TLDM.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut sila klik http://www.upnm.edu.my