Presiden MMU, Prof. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq menyerahkan bantuan itu kepada penerima biasiswa iaitu Raismuanda, Alyaa Afiqah Azman, June Shahira Mohamad Azuwan, Nur Khairunnisa Mashumi, Nnur Aqilah Nor Azami dan Marhaini Abdul Rani pada majlis tersebut. Yang turut hadir Pengarah YUM, Zakiah A. Rahman.
Sejumlah RM1.5 juta biasiswa diperuntukkan oleh YUM untuk Skim Biasiswa Ibnu Haitham bagi membantu pembiayaan kewangan pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke MMU. Tawaran tersebut akan diberi kepada 30 penerima dalam kalangan pelajar yang memenuhi syarat dan kelayakan bagi sesi pengambilan pelajar kemasukan April ini dan sepanjang 2016.
Biasiswa Ibnu Haitham adalah untuk pelajar Islam daripada keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan.
Pemohon hendaklah memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk melanjutkan pengajian sama ada di peringkat Asasi, Diploma atau Ijazah dalam pelbagai bidang yang ditawarkan MMU dengan keutamaan diberikan kepada pelajar jurusan Multimedia Kreatif (FCM), Teknologi Maklumat (IT) dan Kejuruteraan.
Biasiswa Ibnu Haitham mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 2014 dan setakat Disember 2015, seramai lapan pelajar telah menerima biasiswa dengan jumlah pembiayaan RM800,000.
Sumber: UTUSAN